28 November 2008

PROMOSI KELAS KOMPUTER DI BENGKEL JAHITAN MANIK

Pada 26 November 2008 (Rabu) telah diadakan Bengkel Jahitan Manik anjuran KEMAS Cawangan Tanjong Karang bertempat di Balai JKKK Seri Tiram Jaya dari jam 2.00 petang dan tamat pada jam 4.30 petang.



Memandangkan ini peluang terbaik untuk bertemu para wanita Kampung Seri Tiram Jaya, saya tidak melepaskan peluang untuk beramah-mesra di samping itu turut mempromosikan kelas komputer anjuran Pusat Perkhidmatan dan Ilmu Komuniti (PPIK).



Bermula dengan memperkenalkan diri, saya meminta kebenaran untuk mengambil gambar di samping itu sempat menemuramah beberapa orang yang terpenting bagi menjayakan bengkel ini (laporan lanjut sila layari http://kgseritiramjaya.blogspot.com/). Rata-rata wanita yang mengikuti bengkel ini peramah serta mudah bekerjasama dalam mendengar penerangan yang diberikan oleh saya berkenaan kelas komputer serta kepentingan internet.



Hasil penerangan saya tempoh hari, kini saya telah menerima beberapa pendaftaran nama untuk kelas komputer yang bakal bermula pada bulan hadapan. Malah kesempatan yang ada, turut diambil peluang oleh para ibu untuk mendaftarkan nama anak-anak yang kini sedang bercuti. Peluang yang ada ini amat disyukuri selain daripada perkhidmatan yang percuma malah turut mengisi ruang masa anak-anak daripada terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah.



Ketika ini, bangunan PPIK Seri Tiram Jaya masih belum beroperasi walaupun sudah siap dibina dalam 2 minggu yang lalu atas masalah teknikal serta bekalan elektrik yang belum ada. Atas kesedaran akan kepentingan penyebaran ilmu ICT kepada komuniti, saya akan memperuntukkan 1 jam 30 minit untuk 1 sesi dimana dalam seminggu terdapat 6 sesi dengan modul yang berbeza. Dalam 1 minggu, kemungkinan besar saya akan mengajar seramai 8 hingga 10 orang dimana maksimum bagi 6 sesi ialah 2 orang (penggunaan laptop). Sementara tempat untuk belajar pula, rata-ratanya adalah di rumah pelajar tersebut (keutamaan untuk para ibu). Manakala untuk para belia, lebih mudah diadakan di Perpustakaan Desa Seri Tiram Jaya.

Tiada ulasan: